Wednesday, January 27, 2010

Mahkamah membenarkan injunksi kepada Nor Nyawai untuk menghalang sementara tindakan meroboh rumah-rumah di kawasannya

26 Januari 2010

Pada hari Selasa lalu Mahkamah Tinggi Kuching telah membenarkan injunksi kepada Tuai Rumah Nor Anak Nyawai untuk menghalang sementara kerja-kerja perobohan rumah yang dilakukan di kawasan Sungai Sekabai, Sebauh.

Injunksi tersebut akan menghalang Tatau Land Sdn. Bhd., Jabatan Tanah dan Survei dan Kerajaan Negeri daripada memasuki atau menceroboh masuk ke dalam tanah NCR Nor Anak Nyawai.

Permohonan injunksi tersebut difailkan oleh peguam mereka iaitu Baru Bian dan didengar oleh Hakim Albert Linton.

“Mahkamah telah memberikan kita injunksi sementara sementara menunggu perbicaraan penuh pada 9 Februari nanti", kata Baru Bian ketika dihubungi hari ini.

Para pemilik tanah telah memohon kepada Mahkamah untuk memberi perintah menghalang Tatau Land Sdn. Bhd. atau para pekerja dan agennya daripada memasuki, bekerja, memulakan sebarang kerja-kerja pembangunan dan menceroboh masuk ke dalam tanah hak adat masyarakat Orang Asal di kawasan tersebut sehingga penyelesaian terakhir dapat dicari di dalam perkara tersebut.

Mereka juga memohon perintah interim atau ganti rugi yang Mahkamah putuskan sebagai adil dan wajar akibat daripada tindakan perobohan tersebut dan juga kos.

Pada 19 Januari lalu, pihak berjuasa telah merobohkan 29 buah rumah kepunyaan pihak plaintif.

Mereka juga telah memohon kepada Mahkamah untuk menghalang pihak defenden daripada merobohkan 35 buah rumah kediaman dan pondok kebun mereka yang masih ada.

Dipetik dari: Bintulu.org
Diterjemahkan untuk: Sebana Menoa

No comments: