Wednesday, December 9, 2009

Hutan Sarawak yang kian menghilang

PENANG, Malaysia, Nov 30 (IPS) – Sudah sekian lama, para aktivis alam sekitar dan pejuang hak Orang Asal percaya bahawa hutan belantara yang luas di negeri Sarawak dibalak dengan rakus dan hutan tersebut kini beralih menjadi ladang-ladang kayu akasia dan kelapa sawit, empangan hidro elektrik dan hutan belukar. Malangnya, tidak semua orang mengambil kisah.
Pendirian para aktivis tersebut kini telah disahkan apabila di dalam Laporan Tahunan Audit 2008, yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara dan diserahkan ke Parlimen, Ketua Audit Negara telah mengkritik pengurusan hutan di negeri Sarawak sebagai tidak “memuaskan”. Pada awal bulan ini, pihak berkuasa Sarawak pula menolak penemuan Ketua Audit Negara.
Laporan tersebut telah menyenaraikan beberapa penemuan untuk sampai ke kesimpulan tersebut: kawasan hutan simpan kekal semakin berkurangan dan tidak ada kawasan baru untuk mengantikan kawasan hutan tersebut, manakala terdapat beberapa usul untuk mewartakan kawasan hutan simpan pula belum dilaksanakan. Terdapat juga penemuan di mana pemegang lesen balak tidak diwajibkan untuk mendapat laporan taksiran impak alam sekitar (EIA) yang telah diluluskan sebelum memulakan kerja-kerja mereka. Catuan penebangan tahunan pula melebihi hadnya jika semua kawasan hutan diambil kira.
Laporan tersebut juga menyatakan bahawa penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah telah menyebabkan terjadinya pembalakan haram yang menyumbang pula kepada kemusnahan alam sekitar, terutamanya pencemaran sungai-sungai, hakisan tanah dan kejadian tanah runtuh, mendapan lumpur dan banjir.
Menteri Kedua Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Awang Tengah Ali Hassan (Menteri Pertama ialah Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud) telah menyatakan ketidakpuasan hatinya kepada laporan tersebut. Beliau berkata laporan tersebut tidak mencerminkan situasi keseluruhannya kerana para juruaudit tersebut membuat kesimpulan-kesimpulan yang rambang mengenai pengurusan jangka panjang hutan di Sarawak oleh kerajaan negeri."
Dengan mendapatkan tindakbalas dari Jabatan Hutan Sarawak, saya percaya pandangan yang seimbang dan tepat (mengenai pengurusan hutan oleh kerajaan negeri) dapat dilaporkan di dalam laporan tersebut,” kata beliau di dalam laporan agensi berita nasional, Bernama.
Awang Tengah pula mengatakan bahawa Jabatan Audit Negara tidak mempunyai kepakaran di dalam pengurusan hutan, dan maklumat-maklumat yang diberi dari Jabatan Hutan Sarawak tidak diambil kira di dalam laporan audit tersebut. Beliau berkata, Ketua Audit Negara telah menulis kepadanya pada 29 Oktober dan bersetuju untuk mengambil kira tindakbalas dari Jabatan Hutan.
Apabila dihubungi, seorang jurucakap dari Jabatan Audit Negara di Putrajaya pula berkata perkara tersebut sudah “selesai” – jabatan tersebut akan menerima komen-komen dari pihak-pihak berkuasa di Sarawak akan tetapi laporan Ketua Audit Negara masih sah.
Para pegawai tinggi di Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak dan Jabatan Hutan Sarawak tidak dapat dihubungi melalui telefon untuk mendapatkan komen pada masa ini.
Sarawak mempunyai hutan seluas 12.44 juta hektar di dalam keluasan tanahnya yang seluas 124,450 kilometer persegi, di mana 4.6 juta hektar adalah hutan simpan kekal, 0.88 juta hektar hutan lindungan sepenuhnya dan 4.3 juta hektar pula adalah hutan milik kerajaan, manakala baki kawasan tersebut digunakan untuk penempatan, bandar dan kawasan pertanian.
Pada awal tahun ini, kerajaan negeri telah mengumumkan sasaran untuk menetapkan enam juta hektar untuk hutan simpan kekal dan sejuta hektar untuk hutan lindungan sepenuhnya yang terdiri daripada taman-taman negara, kawasan perlindungan binatang liar dan hutan simpan asli. Pengumuman tersebut telah dijelaskan sebagai “testimoni jelas komitmen kerajaan negeri kepada pengurusan hutan secara mapan.”
Kerajaan negeri Sarawak juga telah mengumumkan penubuhan Kawasan Pemuliharaan Antara Negara yang terdiri dari kawasan taman negara dan kawasan perlindungan binatang liar dengan Indonesia dan Brunei. Kerajaan negeri telah menandatangani 33 perjanjian antarabangsa yang berkaitan dengan hutan Konvensyen mengenai Kepelbagaian Biologi, Protokol Kyoto, Konvensyen mengenai Perdangangan Antarabangsa Spesis-Spesis Flora dan Fauna Liar yang Terancam dan Perjanjian ASEAN mengenai Pemuliharaan Sumber-Sumber Asli dan Alam Semulajadi.
Tetapi, Raymond Abin, penyelaras Jaringan Pemuliharaan Bertindak Sarawak – sebuah jaringan kumpulan-kumpulan pejuang alam sekitar dan hak Orang Asal di Sarawak – masih tidak percaya.
Pembalakan merupakan bines terbesar di Sarawak: Sarawak merupakan pengekspot terbesar kayu keras tropika di dunia. Tambahan pula, konsesi-konsesi balak selalunya diberi kepada pihak-pihak yang mempunyai pertalian rapat dengan para pemimpin di Sarawak. Kelapa sawit juga merupakan sebuah lagi sumber pendapatan yang besar untuk Sarawak.
“Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat apa yang berlaku terhadap sungai-sungai kita di Sarawak, semuanya berlumpur. Jika anda menaiki pesawat dan terbang dari satu penjuru negeri ini ke penjuru yang seterusnya, anda boleh melihat banyak kawasan-kawasan hutan sudah dibalak,” kata Raymond.
Dari kesemua usaha kerajaan negeri Sarawak, laporan Ketua Audit Negara melaporkan bahawa 139,680 hektar hutan simpan kekal musnah dari tahun 2003 dan 2005, di mana 18,322 hektar pula musnah dari tahun 2006-2008. Dari tahun 1990 dan 2008, hampir sejuta hektar hutan simpan kekal telah musnah, dengan hanya 4.6 juta hektar yang masih tinggal. Laporan tersebut menyatakan pengumuman sasaran kerajaan negeri untuk mengekalkan enam juta hektar hutan simpan kekal, tetapi tiada pentunjuk yang menyatakan bila sasaran ini akan menjadi rasmi.
Para juruaudit menemui bahawa “aktiviti pembalakan yang berhampiran dengan sungai-sungai merupakan faktor utama kemerosotan air jernih, jumlah pepejal yang terapung dan tahap oksigen yang terlarut” di sungai-sungai utama di Sarawak. "Ini bukan sahaja mencemarkan sumber-sumber air, ia memerlukan kos yang tinggi untuk dibaik pulih.” Sememangnya, Sungai Rejang (di kawasan Sibu, Sarikei dan Kapit), Sungai Kemena (Bintulu), Sungai Baram (Miri), Sungai Limbang (Limbang) dan Sungai Trusan Lawas (Limbang) telah melebihi piawaian pencemaran air.
Raymond menambah bahawa masyarakat Orang Asal boleh melihat apa yang sedang berlaku di persekitaran mereka. “Anda tidak perlu menjadi seorang pakar: masyarakat Orang Asal yang telah lama tinggal di dalam hutan atau memerlukan air bersih untuk kehidupan mereka – cara hidup mereka semakin lama akan hancur akibat daripada pembalakan.”
Para juruaudit menunjukkan bahawa terdapat banyak mendapan di kuala Sungai Seduan dan Sungai Igan di Sibu iaitu "seluas sebuah padang bola sepak," dan disebabkan ini banjir sering berlaku di kawasan Sibu terutamanya pada waktu hujan lebat. Menurut rekod banjir, Sibu merekodkan banjir sedalam 0.9 meter pada tahun 1997 dan naik ke 1.5 meter pada tahun 2007. Pada bulan Disember 2008, Sibu mengalami banjir yang paling teruk sejak dari tahun 1963. 350,000 hektar kawasan hutan simpan kekal di Bahagian Sibu di Sarawak telah musnah di antara tahun 1990 dan 2008, menurut laporan para juruaudit.
Mereka juga menyatakan beberapa laporan akhbar yang menyatakan pada awal tahun ini aktiviti-aktiviti pembalakan di Bakun yang melebihi 40,000 hektar telah menyebabkan pencemaran dan mendapan yang teruk di kuala Sungai Balui.
Undang-undang memerlukan laporan EIA disediakan untuk setiap lesen pembalakan di kawasan yang melebihi 500 hektar sebelum kerja-kerja membalak boleh bermula. Akan tetapi apabila sebuah sampel 30 permit untuk kawasan melebihi 500 hektar dikaji, para juruaudit tidak dapat mengesahkan jika laporan EIA telah disediakan sebelum kerja-kerja membalak bermula. Mereka juga tidak menemui mana-mana laporan EIA yang memberi kebenaran untuk membalak berkaitan dengan permit tersebut.
Pemantauan dari udara mendapati bahawa pembalakan di beberapa kawasan pembalakan dilakukan di cerun-cerun bukit yang melebihi 45 darjah, had kecerunan yang dibenarkan untuk membalak dan di kawasan yang berhampiran dengan sungai.
Para juruaudit memberi amaran bahawa kekayaan kepelbagaian biologi Sarawak akan beransur musnah akibat daripada aktiviti-aktiviti pembalakan. Mereka mengesa agar spesis flora dan fauna direkod sepenuhnya supaya kerja-kerja pemuliharaan boleh dilaksanakan dengan betul untuk spesis-spesis yang terancam.
Salah satu masalah ialah penguatkuasaan yang lemah dan renjer-rejer hutan tidak mencukupi, kata Awang Tengah pula adalah "episod lama" di mana tindakan untuk memperbaiki telah pun dilaksanakan.
Tetapi Raymond menyangkal dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa orang ramai takut diugut dan inilah sebabnya mengapa mereka tidak berani untuk membuat aduan. "Mereka tidak boleh nafi bahawa terdapat banyak aktiviti-aktiviti pembalakan. Masalah tersebut berpunca dari pihak berkuasa, mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat perubahan, dan juga kerana kekurangan penguatkuasaan.”
Dipetik dari: Anilnetto.com
Diterjemah untuk: Sebana Menoa

No comments: