Monday, November 16, 2009

Polis menjadi pengawal Syarikat Samling ketika jentolak menjalankan kerja ditanah NCR kaum Kenyah

BELAGA, 5 November 2009 – Sekumpulan pegawai polis telah menjadi pengawal kepada pekerja syarikat Samling Plantation Sdn. Bhd. ketika kerja pembersihan menggunakan jentolak dilakukan di dalam kawasan tanah hak adat bumiputera (NCR) kaum Kenyah di Long Koyan yang bertujuan membangunkan ladang kelapa sawit.

Samling mula melakukan kerja pembersihan semalam, tetapi telah diberhentikan oleh peduduk kampung Long Koyan dan diarahkan untuk meninggalkan kawasan terbabit.

Bagaimanapun, hari ini pihak Samling meneruskan semula kerja menolak di kawasan tersebut di bawah kawalan Polis Diraja Malaysia dan mereka langsung tidak menghiraukan bantahan orang kampung.

Penduduk kampung berasa marah dengan Samling kerana tidak mengendahkan amaran larangan menceroboh ke dalam kawasan mereka. Lebih mengecewakan penduduk kampung lagi ialah adalah tindakan pihak polis yang dikatakan berkelakuan tidak professional dan jelas sekali bersubahat dengan pihak syarikat.

TK Nyalang Tahe, ketua kampung Long Koyan sebelum ini telah banyak membuat laporan polis tentang pencerobohan Samling tetapi malangnya tiada tindakan yang diambil oleh pihak polis. Beliau juga pernah pergi memberhentikan jentolak Samling dan mengambil kuncinya untuk diserahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakkan.

Walau bagaimanapun, pada 21 July 2009, pihak polis telah menyaman TK Nyalang Tahe dan mengeluarkan satu waran tangkap terhadap beliau supaya menyerahkan diri ke Balai Polis Sungai Asap. Menurut saman tersebut, TK Nyalang Tahe dikatakan telah mencuri jentolak milik syarikat Samling dan laporan polis telah dibuat terhadapnya oleh pihak Samling.

TK Nyalang dan penduduk kampungnya berbalah dengan pihak polis dan mengatakan cuma kunci jentolak berkenaan yang ada dengannya yang diberikan sendiri oleh pekerja ladang Samling kepada beliau tetapi jentolak tersebut masih di bawah jagaan pekerja Samling dan tidak dicuri. Beliau juga telah membuat laporan polis berkenaan dengan insiden ini.

Pihak polis kemudian memberitahu TK Nyalang yang beliau perlu menandatangani satu perjanjian dengan polis dan diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Majistret Belaga pada 21 August 2009 untuk menjawab pertuduhan.

TK Nyalang berpegang pada arahan pihak polis dan menghadirkan diri di Mahkamah Majistret Belaga pada pagi 21 August 2009. Tetapi beliau terkejut apabila bahagian pendaftaran mahkamah memberitahunya yang pihak polis tidak ada mendaftar kesnya untuk sebutan pada hari tersebut.

TK Nyalang kemudiannya pergi ke balai polis Sungai Asap untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak polis. Pihak polis di Sungai Asap pula memberitahu beliau yang beliau akan dimaklumkan bila masanya untuk beliau harus hadir ke mahkamah.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini pihak polis masih lagi belum memaklumkan kepada beliau tentang status kes tersebut. - SM

No comments: